3 November 2017 - 16:10
Britain Berbangga Dengan Peranan Membentuk Negara Israel: PM Britain

Bercakap berhubung sambutan seratus tahun Deklarasi Balforu, Perdana Menteri Britain menegaskan bahawa negara beliau berbangga dengan peranan London di dalam menerajui pembentukan negara Israel.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bercakap berhubung sambutan seratus tahun Deklarasi Balforu, Perdana Menteri Britain menegaskan bahawa negara beliau berbangga dengan peranan London di dalam menerajui pembentukan negara Israel.

Deklarasi Balfour adalah sebuah kenyataan umum yang dikeluarkan oleh kerajaan Britain semasa perang dunia pertama. Melalui deklarasi itu, Britain menyatakan sokongan mereka kepada pembentukan negara Israel. Deklarasi itu dinamakan sempena nama Lord Arthur Balfour yang merupakan Menteri Luar Britain ketika itu.

Palestin pada ketika itu berada di bawah penjajahan Britain ketika Balfour mengeluarkan kenyataan tersebut.

Warga Palestin pula melihat deklarasi itu sebagai permulaan kepada penjajahan Israel ke atas tanah air mereka pada tahun 1948 sambil menganggap bahawa kerajaan Britain perlu memohon maaf di atas tindakan mengeluarkan deklarasi tersebut.

Bercakap di majlis makan malam sempena sambutan 100 tahun Deklarasi Balfour, Theresa May menyatakan bahawa Britain "sangat berbangga dengan peranan peneraju mereka di dalam pembentukan negara Israel."

Setelah diperkukuhkan dengan Deklarasi Balfour dan sokongan dunia Barat, Israel memulakan penjajahan dan perampasan mereka ke atas tanah Arab di dalam perang 1948.

Pada tahun 1967, Israel meneruskan usaha mereka untuk merampas lebih banyak lagi tanah Palestin di dalam perang yang baharu. Rejim itu kemudiannya mula membina penempatan haram di tanah Palestin dalam usaha mengilhakkan tanah itu ke dalam pemerintahan kejam mereka. -ABNA24

/315